Sedih apabila mengenangkan seorang wanita warga emas di Kota Bharu ini yang telah lama hidup tanpa kad pengenalan diri sehinggakan dia sendiri lupa berapa umurnya ketika ini.Lebih menyedihkan apabila kami mendapat tahu wanita warga emas ini duduk menyewa di sebuah stor kecil beratapkan zink di belakang sebuah kedai di Jalan Kebun Sultan,
Wanita ini dikenali sebagai Asmah Deraman dianggarkan umurnya sekitar 70-an berdasarkan perbualannya mengenai salah-silah keluarganya.Dia mendakwa berasal dari Salor dan mempunyai dua orang kakak dimana salah satunya telah meninggal dunia manakala seorang lagi terputus hubungan kerana sudah lama tidak bersua.
“Ibu dan bapa makcik juga sudah lama meninggal dunia. Semasa zaman kanak-kanak, makcik dijaga Melah dan selepas Melah berkahwin, makcik terpisah dengan kedua-dua kakak tersebut.
“Sejak itu, makcik datang ke Kota Bharu, cari kerja dan hidup merempat merata-rata sehinggalah pada usia sekarang, tumpang berteduh di bilik kecil ini dengan sewa RM100 sebulan dan dibenarkan menggunakan bilik air yang terletak bersebelahan dengan stor ini untuk mandi serta mengambil air sembahyang,” katanya.
Oleh kerana tidak mempunyai pengenalan diri,Asmah mengakui sangat sukar untuk mencari kerja dan dia juga pernah mencuba untuk membuat kad pengenalan diri namun usahanya itu sia-sia kerana ada yang mengambil kesempatan keatas dirinya.
“Ke hospital kerajaan pun makcik tak pernah pergi. Penyakit yang ada hanya tahu demam dan kebas-kebas macam itu saja, selebihnya tidak tahu sebab tidak pernah ke hospital. Kalau demam pun akan beli ubat dekat kedai sahaja, itu pun jika ada duit lebih,” katanya.
“Hajat makcik hanya hendak kad pengenalan sahaja, tulislah umur berapa pun makcik tak kisah, yang penting dapat kad pengenalan. Tiada kad pengenalan, bantuan untuk warga emas pun tidak layak. Sekarang masih larat nak bekerja, nanti apabila jatuh sakit macam mana,” katanya.

No comments:
Post a Comment